Wednesday 23 January 2013

THIS IS KOTA BHARU

“This is Kota Bharu” : JMF -TMJ

Ditulis oleh TRWC Team Jumaat, 18 Januari 2013 00:07  





askar
Apa yang ingin disampaikan ini bukanlah bertujuan mengeruhkan lagi keadaan, sebaliknya sekadar menyuarakan pendapat sebagai golongan marhain negeri Kelantan. Jauh sekali untuk mempersoalkan hak dan keistimewaan golongan Kerabat Diraja lain kerana kami juga punya Al-Sultan yang senantiasa disanjung tinggi.

Kehadiran Johore Military Force (JMF) atau juga dikenali sebagai Timbalan Setia Negeri ke Stadium Sultan Muhammad IV menjelang sesi latihan dan perlawanan Kelantan menentang Johor Darul Takzim dilihat mencetuskan polemik di antara protokol, bidang kuasa dan sensitiviti masyarakat setempat. Apatah lagi ianya hanyalah untuk sebuah perlawanan bola sepak dan bukannya sebuah lawatan negara atau persidangan yang dikategorikan sebagai ‘High Risk’ atau berisiko tinggi.

Banyak pihak di luar sana sedia maklum bahawa JMF antara fungsinya adalah untuk melindungi Kerabat Diraja Johor dan skuad ini bertanggungjawab atas keselamatan mana-mana ahli Kerabat Diraja mereka yang diiringi. Namun di saat melihat mereka menggalas senjata api lengkap berpakaian tentera sambil sambil berlegar di perkarangan dan di dalam stadium pastinya amat mengejutkan, terutamanya bagi rakyat Kelantan, ataupun mungkin juga bagi rakyat Malaysia yang tidak pernah melihat atau mengalami situasi sedemikian di sebuah stadium untuk satu acara sukan.

Kami di sini mengakui tidak punya bala tentera sendiri, kerana kami tahu kami tidak perlu semua ini. Bahkan Al-Sultan kami lebih selesa bergerak sendiri dengan pengawasan seminimum mungkin tanpa batas-batas protokol keterlaluan yang mengongkong. Alhamdulillah, Al-Sultan kami tetap dipelihara oleh Yang Maha Esa.

Tugas JMF mengawasi tidak pernah dipersoalkan, namun bukankah segalanya berdasarkan arahan. Bukankah berdiplomasi itu lebih baik? Andai dirasakan balingan botol atau mercun yang mungkin tiba-tiba datang harus dihadap dengan senjata api, rasanya cukuplah sekadar dengan pistol yang sedia terselit di pinggang. Itu sudah memadai untuk menggertak seorang manusia yang waras.

Situasi yang terjadi ini secara tidak langsung menggambarkan bahawa Kelantan adalah negeri yang sangat tidak selamat dikunjungi sehinggakan senjata terpaksa diusung demi mengawasi pemimpin dan para pemain sedangkan hakikatnya sama sekali berbeza. Ini turut memberi tanggapan buruk kepada negara-negara lain terhadap Malaysia dengan gambaran yang tak tumpah seperti sebuah negara yang sedang bergolak.

Ditekankan di sini, harus diingat bahawa tidak pernah sekali pun tercatat dalam sejarah negeri Kelantan bahawa terdapat rakyat Johor atau negeri lain yang terkorban sewaktu perlawanan bola sepak diadakan di negeri ini. Begitu juga dengan rusuhan besar-besaran antara penyokong yang membabitkan kematian. Yang ada hanyalah dakyah-dakyah mereka yang sekadar tahu melemparkan persepsi negatif sebelum bertandang ke sini, dan akhirnya pulang ke negeri masing-masing dengan semangat setiakawan bagi yang kenal erti sahabat dan tahu apa itu maksud tetamu.

Apa yang pasti, peristiwa ‘bersejarah’ ini mungkin hanya dapat disaksikan di Kota Bharu. Situasi di ‘venue’ perlawanan yang lain membabitkan pasukan bintang dari selatan itu mungkin tiada ‘sehebat’ ini. Inilah hasilnya apabila persepsi dan andaian melangkaui akal yang pasti. Hakikatnya, tiada siapa yang pernah mati di sini kerana, “This is Kota Bharu”..
 





 

No comments:

Post a Comment