Kota Bharu 8 Januari
RM1juta! Itu nilai sebenar tuntutan Persatuan
Bola Sepak Kelantan (Kafa) kepada Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) jika
mahu menyelesaikan konflik perpindahan Norshahrul Idlan Talaha ke Johor Darul
Takzim FC.
Presidennya, Tan Sri Annuar Musa berkata, jumlah
tersebut dianggap munasabah berdasarkan status Norshahrul Idlan atau dikenali
Mat Yo sebagai penyerang utama kebangsaan dan penerima anugerah Pemain Paling
Bernilai (MVP) tiga musim berturut-turut.
“Bila saya bercakap, orang beri gambaran saya
mempolitikkan isu ini.
“Saya bukan jaga bola sehari dua. Sebenarnya, isu
perpindahan Mat Yo jarang berlaku dan kita sendiri tertunggu nak tengok perkara
ini diputuskan mengikut peraturan-peraturan yang betul,” kata beliau.
Annuar menambah: “Ada dua isu melibatkan Mat Yo
iaitu perpindahan dan penamatan kontrak.”
Katanya, Jawatankuasa Status Persatuan Bola Sepak
Malaysia (FAM) yang pertama kali bermesyuarat baru-baru ini memutuskan dia boleh
pindah.
“Kita pun tak bantah, asalkan mengikut
syarat-syarat ditetapkan dan segala hak Kafa dipertahankan.
“Dia sendiri hantar surat bertarikh 30 Oktober
2012 untuk menamatkan kontrak berkuat kuasa pada 1 November,” katanya.
Justeru kata beliau, ia bermakna penamatan
kontrak dia berlaku 13 bulan lebih awal melibatkan nilai lebih RM300,000, yuran
perpindahan minimum ditetapkan oleh FAM adalah RM250,000, pinjaman perumahan
lebih RM100,000, selain insentif dan kerugian yang terpaksa ditanggung kerana
penaja menarik diri.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas
menyampaikan bonus kepada pemain di atas kejayaan The Red Warriors menjuarai
Piala Malaysia musim lalu di ibu pejabat Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu
(Kada) di Kota Bharu, hari ini. Hadir sama Timbalan Presidennya, Datuk Afandi
Hamzah; Naib Presiden, Datuk Rosmadi Ismail dan Datuk Ismail Md Noor dan
Setiausaha Agung, Azman Ibrahim.
Sambil menjadikan kes tuntutan kelab Al-Ahly dari
Mesir dengan FC Sion (Switzerland) yang berjaya diselesaikan Persekutuan Bola
Sepak Antarabangsa (Fifa) sebagai rujukan, Annuar menjelaskan, isu perpindahan
Mat Yo ke Johor Darul Takzim FC boleh diselesaikan sekiranya pihak berkenaan
mengikut peraturan dengan betul.
Dalam pada itu, Annuar mengakui pihaknya ada
menerima bank draf RM250,000 daripada peguam Mat Yo dua hari lalu.
Namun beliau sendiri kurang jelas tujuan
pembayaran tersebut.
“Kita tak pasti apakah itu bayaran yuran
perpindahan seperti mana merujuk peraturan Artikel 39.2 yang dinyatakan di media
sebelum ini. Dalam surat peguam pun tak nyatakan bayaran untuk apa.
“Oleh kerana pihak FAM belum putuskan apa-apa,
maka kita serahkan perkara ini kepada peguam Kafa.
No comments:
Post a Comment